Dengar Dzkir

Monday, August 29, 2011

Anugerah Allah Dibulan Ramadhan


18 Ogos 2011, pertengahan Ramadhan, Allah telah mengurniakan CBT dengan kelahiran cucu yang ke 12. Seorang bayi perempuan dengan berat timbangan 3.3kg. Anugerah tersebut dalam bentuk Zara Sophia Himzal, lahir dari anak sulung kami. Semoga Ramadhan ini memberikan CBT dengan seorang lagi cucu muslimah yang akan mendorong ibu-bapa, datuk nenek dan ahli keluarganya kejalan yang diredhai Allah. Semoga Allah akan mengurniakan Zara Sophia Himzal kehidupan yang penuh rahmah dan hidayah. Marhaban ya Zara Sophia Himzal.....

Selamat Hari Raya Merdeka


Tahun ini CBT akan merayakan Aidil Fitri berlainan dari tahun-tahun sebelumnya, anak cucu akan berkumpul dirumah CBT untuk menyambut Hari Raya. Tahun ini CBT ke Puchong, Selangor untuk berhari raya. Ini kerana anak bungsu CBT telah sarat mengandungkan anak sulungnya, kata orang sedang menanti hari sahaja. Kira killing two birds with one stone lah ni. CBT telah pun menalipon bonda di Singapura bahawa tahun ini CBT tidak beraya disana kalau pergi pun selepas seminggu hari raya, itu pun seorang diri kerana isteri akan menunggu anaknya selamat melahirkan cucu kami. Pesan bonda "baik-baik bawa kereta tu, kalau penat berhenti dulu."
Tujuan CBT menulis kali ini bukanlah nak cerita fasal perjalanan dari Kulaijaya ke Puchong. Nak meluahkan rasa terkilan dengan sikap penduduk disebuah taman di Puchong, 4 belok kediaman 5 tingkat, tiada satupun rumah yang mengibarkan Jalur Gemilang, sedangkan sepanjang jalan masuk ke taman tersebut kelihatan Jalur Gemilang berkibar dihalaman rumah dengan megahnya...kemana perginya semangat patriotik mereka agaknya. Tidakkah mereka memiliki sedikit rasa bangga terhadap Malaysia....tak tahulah CBT kalau mereka tu semuanya bukan warganegara Malaysia. Kanak-kanak umor 12 tahun pun pandai mengibarkan Jalur Gemilang keliling bandar....... akan miskinkah kita kalau membeli sehelai Jalur Gemilang untuk dikibarkan dirumah kita. Amat malanglah kita sekiranya tidak mengibarkan Jalur Gemilangtu ada kaitan dengan fahaman politik.

Friday, April 2, 2010

XPDC Ke Gunung Pulai 2





Perjalanan Yang Tak Mungkin Berulang Kiriman 6

Antara peristiwa yang tak dapat aku lupakan semasa berada di Singapura ialah kejadian di Katong Park. Aku yakin, Mohideen, Syed Nasir dan Hj. Mustaffa juga masih ingat. Kami ketika itu dalam Primary 6, hari Jumaat, kami mendapat kebenaran untuk balik awal untuk bersolat Jumaat. Tetapi kami tidak pergi ke Masjid, sebaliknya kami menuju ke Katong Park untuk mandi laut. Setiba sahaja kami di sana, aku tidak berlengah lagi membuang semua pakaian dan terus terjun ke dalam laut. Rupa-rupanya ketika itu air tengah pasang penuh, suatu keadaan yang belum pernah aku alami, dengan ombak yang agak besar membuatkan aku tidak jejak ke dasar laut dan terus terkapai-kapai. Beberapa saat kemudian, apabila aku sedarkan diri aku berada di dalam bilik Life Guard. Setelah keterangan diri ku diambil, aku telah disuruh pulang ke rumah dengan amaran agar tidak lagi menjenguk muka di sana. Menonong kami balik ke rumah masing-masing tanpa mengucapkan terima kasih kepada orang yang telah menyelamatkan nyawa ku. “Ya Allah kau kurniakanlah kesejahteraan mu kepada hamba mu itu sekiranya dia masih hidup, sekiranya dia telah kau jemput ke alam baqa’ himpunkan dia bersama-sama dengan orang-orang yang kau redai.”
Semasa berada di Singapura, aku dan keluarga ku pernah menyewa rumah di Kampong Amber (Katong), Lorong Engku Aman (Geylang), Jalan Tebu, Jalan Nyiur (Kg. Ubi) dan Jalan Belinjau di Kaki Bukit. Tempat-tempat ini hanya boleh diingati tetapi tidak boleh dijejaki kerana telah diubah dek pembangunan. Sebelas tahun aku berada di Singapura, berbagai pengelaman telah aku tempuhi bagi bekalan hidup ku di masa akan datang.
Ketika itu kebanyakan rumah sewa tiada bekalan elektrik mahupun air paip. Antara rutin ku semasa menyewa di Kampong Amber ialah menemani ibu ku ke paip kerajaan, kata orang Singapura “paip Gomen” setiap malam. Ramai kaum wanita membasuh pakaian di waktu malam, ada yang berkemban, ada yang berbaju T, yang kami panggil baju panas, dan ramai juga yang berbaju kebaya kain kasa. Ketika itu aku belum lagi tertarik dengan wanita berkemban kain batik basah, atau baju panas basah mahupun kebaya kain kasa basah. Sementara menantikan ibu ku menyudahkan basuhan, aku berjinak-jinak dengan menjaga kereta dan sekali sekala berpeluang mencuci kereta, dapat juga duit belanja. Ketika itu tidak ada taiko dan tidak ada bos yang mengawal tempat tersebut, Chinese Swimming Club.
Pada malam-malam minggu atau cuti sekolah kami akan menunggu kepulangan pukat balik ke pantai. Kami akan membantu menarik pukat naik ke pantai. Upahnya......kami boleh menguis anak-anak ikan dan ketam untuk dibawa pulang. Semacam satu pakatan telah ujud di sana, kami meringankan kerja-kerja menarik pukat mereka, mereka pula tutup mata sebelah apabila kami “menguis” tangkapan mereka. Tetapi kiranya ada di antara kami yang tamak untuk menguis tangkapan yang besar, kami akan dimarahi dan dihalau dengan serta merta.
Keluarga ku juga pernah menyewa di Lorong Engku Aman. Berhampiran dengan rumah sewa ku ialah rumah Jorah Ahmad dan pelakon drama Pak Kemat. Di belakang rumah ku ialah Sungai Paya Lebar. Di sinilah aku memancing belut dan menyondong ikan. Lorong Engku Aman kini hanya tinggal nama sahaja.........sesiapa yang ingat....Lorong Ungku Aman akan kekal dalam kenangan mereka. Di sini juga terdapat sebuah gelanggang badminton yang kadangkala akan digunakan oleh kaum lelaki masyarakat keturunan Arab untuk mempersembahkan tarian zapin. Kami akan menonton sehingga jauh tengah malam. Kini, Sungai Paya Lebar sudah tidak seperti dahulu, tidak ada lubang belut untuk dihulur mata pancing, lubuk juga sudah tiada untuk di sondong dengan pungkis. Sungai Paya Lebar sudah tidak bertebing tanah liat, ianya sudah diganti dengan tebing konkrit beralur kan parit di tengahnya. Sungai Paya Lebar sudah tidak berbelut, tiada ikan sepat atau belaga dan tiada betok ataupun haruan lagi.

Monday, March 15, 2010

Majikan Hapraq

Lama sangat tidak menulis dlm blog ini. Entahlah............. kenapa malas semacam aje rasanya. Minggu lepas Cucu Tok Bugis telah ke Pejabat JTK Johor Baru utk mendapatkan bantuan dan membuat lapuran terhadap bekas majikan CTB yang enggan membayar gaji terakhir CTB dan rakan-rakan. CTB juga ke pejabat KWSP keranan bekas majikan gagal mencarum potongan gaji kami mulai Julai 2009 kedalam akaun KWSP kami semua. Apa yang memeranjatkan ialah syarikat tersebut tidak berdaftar dengan KWSP pun. Duit kami semua dipotong, tetapi dilesapkan.
Majikan hapraq ini keturunan mamak yang mempunyai banyak rangkaian perniagaan antaranya membekalkan tenaga kerja asing, agensi pelancungan, restoran dan kantin dikilang, rangkaian kedai runcit dan kini dalam usaha mendapatkan lesen "construction". Sebenarnya sebelum ini pun telah berlaku perkara saperti ini, tetapi tiada sesiapa yang tampil melapurkan. Mereka mendabik dada dan mengatakan semua orang ada nilainya dan bolih dibeli. Dunia hari ini beginilah agaknya..... CTB dan rakan mengharapkan keikhlasan jabatan berkenaan menanggani kes tersebut.

Tuesday, November 3, 2009

Pelangi Malam





Apa yang kita ketahui pelangi akan muncul selalunya selepas berlaku hujan. Ramai diantara kita tidak menyedari bahawa lebih kurang jam 11.30 malam 2 Nov 2009 telah berlaku suatu fenomena yang dimanakan "Halo-Pelangi Bulan". Maka kita (termasuk CTB) terlepas peluang untuk melihat keindahan alam ciptaan Allah Yang Maha Esa. Perkara ini hanya disedari CTB apabila menerima email dari MedanKu.com (http://www.medanku.com/rainbow-halo-around-moon/) mengenai perkara tersebut keesokan harinya. Lihatlah gambar-gambar (Ke-3 dan 4) yang menunjukkan pelangi mengelilingi bulan yang diambil diruang udara Medan, Sumatera. Sementara gambar pertama dan kedua adalah gambar fenomena yang serupa tetapi ia melibatkan pelangi mengelilingi matahari.
Adalah menjadi kepercayaan bahawa apabila fenomena ini berlaku, ianya suatu petanda kedatangan cuaca buruk saperti ribut dan taufan. CTB bukan ahli astrologi, mungkin ada rakan-rakan yang lebih arif tentang fenomena ini boleh membantu memberi penerangan yang lebih jitu.


Perjalanan Yang Tak Mungkin Berulang - Kiriman.4

Rumah aku di Sedili bukan sahaja banyak lipan dan jengking, malah terdapat ular sendok, berok dan babi hutan. Tanaman di keliling rumah banyak dimusnahkan oleh berok dan babi hutan, maka aku pun give up untuk bercucuk tanam. Peristiwa yang paling menakutkan ialah apabila rumah aku diserang oleh gerombolan berok, ketika itu hanya isteri aku sahaja yang berada di rumah, anak aku Hidayatul Ashikin Himzal sedang bersekolah, ibu aku balik ke Singapura dan aku pula sedang bekerja di Kompleks Bebas Cukai, Stulang Laut. Akibat dari terlampau takut dengan peristiwa tersebut, isteri aku Hajah Zaliha langsung demam dan muntah-muntah kerana stress yang amat sangat ekoran dari peristiwa berok masuk sampai ke dalam dapur. Apabila isteri aku cuba menghalau, berok-berok tersebut mengejar isteri aku pula. Tiada siapa datang menolongnya, jeritannya tidak didengari oleh sesiapa kerana rumah aku agak jauh jaraknya dari jiran terdekat.

Namun tinggal di Sedili bukanlah bahaya semata-mata, aku juga mendapat ketenangan di sana, jiwa aku memang selalunya tenang apabila berada berhampiran dengan laut, walaupun aku melalui beberapa peristiwa yang menakutkan dengan laut. Malah aku juga akan merasa ketenangan apabila aku melihat burung-burung. Hanya sekadar melihat burung tiung sahaja sudah boleh membuat aku bergembira. Di sana terdapat lebih dari burung tiung. Kumpulan burung serindit kerap singgah dipohon belimbing di belakang rumah ku. Burung but-but juga kerap terbang rendah berhampiran rumah aku. Dan kemuncak kegembiraan aku ialah di saat-saat aku melihat burung kelengking ( seakan-akan burung kenyalang ) melayang-layang di sekitar hutan berhampiran rumah aku. Ketenangan juga menyelubungi jiwa aku apabila aku dikelilingi oleh ayam, itik dan angsa aku terutama apabila aku bersama “Ang” angsa betina berwarna putih pemberian Hj. Salleh, adik angkat aku yang menetap di Kg. Makam. Reban ayam ku yang dipenuhi oleh hampir seratus ekar ayam dan itik kerap kali diserang oleh monyet yang datang mencuri makanan dan juga telor ayam dan itik.

“Ang” adalah kesayangan ku. Ke jinakkannya juga menambat hati isteri dan anak ku. Jikalau aku berada di rumah, “Ang” akan selalu berada dengan aku, di waktu aku hendak pergi kerja “Ang” akan mengejar kereta ku sehingga ke tepi jalan besar dan apabila aku balik dari kerja, sesampai sahaja aku di hadapan rumah, aku akan membunyikan hon kereta dan “Ang” akan meluru ke kereta ku sambil menjerit-jerit.

Hari Jumaat tarikh yang tak ku ingat, “Ang” seperti biasa, menghantar aku sehingga ke tepi jalan besar.

Hari Sabtu, aku tidak bekerja, semasa aku beristirahat di hadapan rumah “Ang” melompat ke atas riba ku. Dia duduk di sana seolah-olah tidur di atas riba ku. Aku dan isteri ku menganggap itu sebagai satu gimik sahaja.

Pagi hari Ahad, aku lihat dari tingkap bilik, “Ang” masih duduk di atas sarangnya. Aku menjangkakan itu adalah biasa kerana dia sedang bertelur. Tengah hari ..... isteri ku memberitahu bahawa “Ang” telah mati. Semasa aku menanam “Ang” tanpa disedari air mata ku tergenang. Seperti semasa kematian Malgosa, kucing kacukan siam yang aku jumpa dalam keadaan basah kuyup dan kotor di dalam longkang di Desa Minang,Gombak.

Malangnya aku terpaksa meninggalkan tempat kelahiran Usman Awang dan kampung halaman Rosiah Chik ini demi keselamatan keluarga ku.