Dengar Dzkir

Wednesday, October 28, 2009

Perjalanan Yang Tak Mungkin Berulang - Kiriman.3

Di rumah Pak Long, kami mengaji Quran dengan Mak Long , tetapi di Kg. Langkah Baik, kami mengaji dengan Tok Anjang Hamid (Allahyarham). Mengaji di sini tidak perlu berbayar, kami hanya menyumbang dengan kudrat kami sendiri. Yang lelaki memotong kayu api, mengangkat air dari perigi, dan membersihkan halaman. Manakala yang perempuan membasuh pinggan mangkuk, membersihkan rumah atau memasak air dan membuat kopi untuk kami sama-sama minum selepas mengaji nanti. Aku sendiri memang selalu memilih untuk mengangkat air dari perigi. Pantang air dalam tempayan tu susut, cepat-cepat aku tambah, tak ada can langsung orang lain boleh buat. Kenapa rajin sangat ……….rahsianya di kawasan perigi aku menyimpan telor-telor yang dijumpai di dalam semak, sebelum dijual di kedai di pekan Kg. Jawa.

Sewaktu tidak bersekolah, aku kerap dibawa oleh datuk ku ke hutan menemaninya mencari kayu api. Kayu api dia yang cari, kerja aku selalunya menghabiskan bekalan. Pertama sekali aku akan menghabiskan bekalan air kopi dalam botol air F&N yang disumbat dengan potongan pelepah rumbia. Kemudian botol tersebut akan diisi dengan anak-anak ikan yang sempat aku tangkap dari lopak berhampiran. Jikalau kayunya banyak, datuk akan menyorong basikal dan aku akan menolak dari belakang.

Aku kemudian dipindahkan ke Singapura dalam tahun 1956 oleh “Encik” untuk meneruskan persekolahan di Haig Boys’ School dan seterusnya ke Dunman Intergrated Secondary School, kedua-duanya dalam daerah Tanjung. Katong. Visi “Encik” mahukan anaknya belajar sekolah orang putih, ini pada awalnya ditentang oleh keluarganya di kampung yang pada ketika itu takut aku menjadi Kristian. Salah satu cara untuk menggagalkan usaha memindahkan aku ke sekolah orang putih ialah “menghilangkan” surat beranak aku. Tapi “Encik” panjang akal, dia mengambil SD(Surat Sumpah) untuk menggantikan sijil lahir ku yang “hilang”.

Kehidupan aku di Singapura tidak kurang melakarkan peristiwa yang menarik. Dari sini, walaupun aku tidak berjaya memasuki UM, namun aku berjaya mengikuti kuliah NUS dan UK serentak. Dan aku yakin kedua-duanya membuat apa dan siapa aku hari ini. Cumanya NUS bukanlah Nanyang University of Singapore dan UK pula bukannya Universiti Kebangsaan. Kedua-duanya ialah Natures’ University of Survival dan Universiti Kemanusiaan. Aku tidak menggonggong ijazah namun aku mempelajari ilmu hidup, untuk hidup supaya hidup.

Hari-hari ku banyak berkisar di kalangan dua kelompok sahabat-sahabat ku. Kawan-kawan yang sebaya dengan aku – Mohideen, Syed Nasir, Mustaffa, Alias, Saadon, Ahmad Said, Syed Mohsen dan Daud (Boyan). Satu lagi ialah kelompok senior, Fadzlan, Yunos, Raja Malik, Azman, Quazar, Jufri, Mokram dan Daud (Boyo). Sebenarnya aku lebih rapat dengan senior, ini kerana penglibatan aku di dalam persatuan di sekolah di mana aku mewakili pasukan sekolah dalam pertandingan berbalas pantun, berbahas dan syarahan. Ini seterusnya membawa aku bergiat di dalam 4PM untuk seketika sebelum aku berhijrah ke Kuala Lumpur setelah menerima keputusan OSC ku.

Mohideen, Syed Nasir, Alias dan Mustaffa adalah kawan-kawan ku dari sekolah rendah, Haigs’ Boys Primary School. Perhubungan aku dengan Mohideen, Mustaffa dan Syed Nasir telah terputus apabila aku berpindah ke sekolah menengah dalam tahun 1963. Namun hubungan dengan Mustaffa terjalin semula apabila aku bersara secara sukarela pada usia 45 dari PDRM dan cuba mengubah cara hidup ku di Sedili, kebetulan Mustaffa juga cuba hidup di Sedili walaupun beliau masih bekerja di Singapura dengan Ministry of Environment, kalau tak silap sebagai merinyu kesihatan. Malangnya perhubungan ini terputus kembali, apabila aku mengambil keputusan untuk meninggalkan Sedili dalam tahun 1997 dan menetap di Pasir Gudang kerana mengutamakan keselamatan ibu, isteri dan anak aku. Mustaffa pula meninggalkan Sedili sekembalinya beliau dan isteri dari tanah suci Mekah, mengikut cerita dia juga menetap di Johor Bahru. Mohideen dan Syed Nasir hilang tanpa berita tidak dapat dijejaki, sehingga hari ini kami tidak pernah bersua muka, sementara Alias kini berada di Bedok North, kalau tak silap telah pun mempunyai empat atau lima orang cahaya mata yang telah besar.

Alias pernah merancang untuk bermalam di rumah aku bersama keluarganya. Sambil makan malam kami berbual-bual, terkeluarlah cerita bahawa di rumah aku banyak terdapat lipan dan jengking. Malah juga terdapat ular sendok. Isteri aku menceritakan bagaimana satu hari di waktu siang aku membunuh seekor lipan dan anak-anaknya yang masih berwarna putih, pada senjanya sewaktu aku memakai baju Melayu hendak bersolat maghrib, aku menganggap ini secara kebetulan sahaja, entah bagaimana seekor lipan berwarna merah kehitaman yang besarnya hampir satu jengkal terjatuh dari saku baju Melayu aku. Ibu aku mengatakan bahawa itu bapak lipan yang aku bunuh anak-anaknya, entahlah wallah hu waklam. Tak sampai satu jam selepas itu, Alias memberitahu bahawa sebentar lagi van akan datang untuk mengambilnya kerana esok kawannya tidak ada kelapangan untuk berbuat demikian. Aku memandang muka isteri aku, apabila aku menoleh ke muka ibu aku, jelas terbayang senyuman orang tua di mukanya.

Monday, October 26, 2009

Cahaya Mata Ular Sawa



Semalam CBT bergegas ke Kg. Langkah Baik, Pengerang kerana ayah saudara CTB yang berusia sekitar awal 70an telah meninggal dunia. Allahyarham telah banyak membantu CTB dipertengahan tahun 80an dulu. Semoga Allah merahmati rohnya dan dihimpunkan bersama-sama orang yang diredhai. Alfatihah untuk Allahyarham Mansor Bin Kassim.
Selepas solat subuh pagi tadi, CTB melihat ada sms dalam inbox. CTB tumpang rasa gembira kerana mantan anak buah CTB yang bertugas di Kompleks Bebas Cukai JB telah dikurniakan dengan seorang puteri yang comel. Harapan CTB pada Fairul @ Apai dan isterinya, didiklah harta yang paling berharga itu agar ia kelak menjadi sebutir mutiara yang indah, gilaplah mutiara itu agar ia kelak menjadi seorang puteri yang solehah.
Jam 3 ptg pula CTB diberitahu oleh seorang pengawal keselamatan bahawa terdapat seekor ular sawa didalam tandas diasrama wanita. Ular tersebut telah berjaya CTB tangkap, hasil dari ilmu yang dikutip dari menunton dokumentari di TV. Sesungguhnya ilmu itu berada dimana-mana, untuk mareka yang cepat memanfaatnya kehadirannya.

Sunday, October 25, 2009

Perjalanan Yang Tak Mungkin Berulang - Kiriman.2

Aku mula melangkah ke alam persekolahan di Sekolah Kebangsaan Pengerang, keadaan nya sekarang amat menyedihkan, bangunan sekolah tersebut sudah tidak ujud, bangunan papan yang tidak diurus dan dipedulikan itu sudah dirobohkan. Sekolah Kebangsaan Pengerang telah lama berpindah ke bangunan baru, dan bangunan lama itu beberapa tahun digunakan sebagai sekolah agama. Di sinilah aku mula mengenali ABC dengan menggunakan papan hitam dengan batu kalam, di sini aku mula menghitung secara formal menggunakan biji-biji congkak dan di sini juga aku mula belajar tentang personal hygiene; sesiapa yang tidak menggosok gigi sebelum ke sekolah akan didenda. Berbaris ke tepi pantai (lebih kurang 100 meter dari sekolah) dan mulalah gosok gigi mereka dengan pasir pantai. Aku kira kalau guru tersebut melakukan perkara ini di tahun 2000an, guru dan guru besar pasti akan berdepan dengan laporan akhbar, campur tangan ahli politik, surat dari peguam atau akan dibelasah oleh bapa dan adik beradik murid tersebut. Satu perkara lagi yang masih segar dalam ingatan ku hingga ke hari ini, ialah sewaktu hendak balik dari sekolah. Sebelum loceng dibunyikan, kami dimestikan menjawab soalan dari guru ( malangnya aku tidak ingat nama guru-guru tersebut, semoga Allah memberkati mereka, sekiranya mereka telah dijemput kembali kepada NYA, “ Ya Allah, rahmatilah mereka kerana mereka adalah orang-orang yang telah memberikan ilmu yang bermanfaat kepada hamba mu ini ) – hari ini orang panggil kuiz la tu. Sekiranya soalan terjawab, kami akan keluar dari kelas cepat, siapa yang gagal menjawab kena berdiri, untuk kali kedua berdiri atas kerusi, gagal kali ketiga naik atas meja dan gagal yang keempat kena berdiri di luar pintu kelas. Walaupun aku selalunya dapat menjawab dan akan keluar awal, namun tak boleh balik juga, kerana bapa saudara ku masih tersangkut, kadang kala sampai berdiri di atas meja.

Ketika itu aku duduk bersama datuk dan nenek (yang juga aku panggil “tok”) Datuk telah meninggal dunia dalam akhir-akhir tahun 80an, sewaktu aku sedang bertugas di Terengganu. Nenek “tok” baru saja meninggal dunia, pada tengah malam 8hb. Januari, 2004 di rumah bapa saudara ku di FELDA Air Tawar 2, Kota Tinggi. Allahyarham datuk ku bernama Awang Bin Abdul Karim Bin Perewah Bin wallahu aklam. Adalah titik-titik darah Bugis ……tak lebih dari itu. Tinggal bersama “tok” meninggalkan kesan manis pada diri ku. Aku tergulung dalam kategori cucu yang dimanjakan oleh datuk dan juga moyang ku. Beruntung kan ?….aku masih mampu bermanja dengan moyang ku. Aku tahu ramai yang cemburu….itulah hakikatnya. Namun cucu ku Mohammad Rifqi Rusydi lebih beruntung lagi, oleh kerana aku masih mempunyai “tok” maka dia sempat merasa mempunyai “Onyit” dan nenek ku sempat pula mendukung “oneng-oneng”nya. Aku harap istilah yang digunakan ini adalah betul.

Aku ke sekolah bersama bapa saudara ku Jumaat (Allahyarham), yang aku panggil “Chik Dollah”, menaiki basikal tua, kira-kira macam basikal Allahyarham Sudirman. Perjalanan dari Kg. Langkah Baik ke sekolah lebih kurang lima batu jauhnya, atau mungkin tak sampai. “Chik Dollah” akan mengayuh dan aku membonceng atas carrier di belakang. Banyak kali aku terpaksa ponteng sekolah…..di kala hari panas jalan tanah merah yang kami lalui akan berdebu, tugas aku di belakang ialah memerhati kalau-kalau ada kenderaan datang dari belakang. Sekiranya ada, kami akan “off the road” masuk ke kebun getah untuk lari dari debu-debu yang akan memerahkan rambut. Di musim hujan pula untuk mengelakkan dari percikan air lopak yang akan memerahkan pakaian kami. Kadangkala, apabila kami “off the road” “Chik Dollah” enggan meneruskan perjalanan ke sekolah. Di situlah kami lepak menghabiskan bekalan yang disediakan oleh “tok” atau mak saudara ku. Apabila orang lain balik dari sekolah, kami pun akan balik sama. Satu lagi sebab aku terpaksa ponteng sekolah ialah kalau air pasang pagi. Air dari Sungai Pengerang akan melimpah ke atas jalan, terutama ketika air pasang keling, menyebabkan perjalanan kami ke sekolah terhalang.

Ini menyebabkan aku diambil oleh bapa saudara ku Pak Long Kadim dan tinggal bersama dengan keluarganya di rumah guru berhampiran dengan sekolah. Pak Long Kadim terkenal sebagai seorang yang garang dan tidak berselindung dengan pendapatnya, ertinya kalau dia marah dia tak peduli siapa, habis kena sembur. Perkara yang paling tak disenangi oleh Pak Long ialah sebutan nama Kg. Langkah Baik yang tak betul, ramai orang hanya menyebut “Langkah Bai”. Boleh dikatakan kami semua memang menikus apabila berdepan dengannya. Pak Long Kadim mengajar di Sekolah Kebangsaan Pengerang sementara isterinya, Mak Long Sitam, yang mempunyai pertalian darah dengan ibu ku, lemah lembut orangnya mengajar di Sekolah Agama. Anak mereka yang rapat dengan aku adalah Hamdan, mungkin kerana dia saja anak lelaki dalam keluarga tersebut. Walaupun rumah kami berhampiran dengan pantai, oleh kerana kami telah diberi amaran supaya tidak bermain di pantai, kami tak menjejakkan kaki di pantai meskipun Mak Long dan Pak Long tidak ada di rumah. Waktu-waktu lapang kami akan kami habiskan sebahagiannya di dalam stor bawah kolong sekolah. Apa ada di sana? ………biskut keras dan susu tepung yang sudah membeku. Itu pun sedap kami makan. Murid-murid sekolah mendapat bekalan minuman susu panas dan biskut, aku kurang pasti siapa penyumbangnya…..mungkin juga Kerajaan Amerika. Ketika itu sumbangan kebajikan memang banyak datang dari mereka.

Berbeza kalau aku bersama dengan “tok” dan “Chik Dollah”….. bertemankan Saadon, Naim, Rejab dan dua tiga orang lagi yang aku kurang ingat nama-nama mereka, kami akan mandi laut atau menangkap ikan diparit. Kadang kala kami akan menyelinap dicelah-celah semak mencari telor ayam atau itik yang bertelur merata-rata di luar reban. Atau pun kami memetik buah gajus dan menggoreng bijinya, inilah waktunya baju-baju basahan kami banyak yang rosak atau terbakar, kalau tidak pun baju akan rosak terkena getah jambu gajus. Waktu air surut kami beramai-ramai, kadangkala disertai oleh ibu saudara ku Mak Anjang Piah, Uda Zaitun (Allahyarhamah) dan Busu Radiah, akan pergi berkarang di tanjung mencari kepah dan kerang bulu. Sekarang ni dah tak nampak orang berkarang, mungkin dah tak minat atau mungkin juga kerangnya dah tak ada. Pernah sewaktu aku berkarang selama dua tiga jam hasilnya hampir satu besin kecil dipenuhi dengan kerang bulu dan kepah. Dan pernah juga aku berjaya mendapat kerang bulu yang hampir sama besar dengan cawan teh. Kerang dibakar atas bara kayu, emmmmm…enaknya.

Kadang kala kami akan mencuri-curi masuk ke dalam kawasan rumah api dan memanjat naik ke puncak menara rumah api, dari sana kami dapat melihat pulau Singapura dan Batam dengan jelas. Semasa kami berada di puncak menara tersebut, akan terasa menara tersebut terayun ke kiri dan ke kanan kerana ditiup angin. Apa yang kami anggap keberanian pada ketika itu, sebenarnya adalah suatu kebodohan yang tidak memikirkan keselamatan diri.

Friday, October 23, 2009

Air Mata Gembira

Pagi ini Cucu Tok Bugis (CTB) agak gembeng sedikit, air mata menganggu penglihatan mata tua ini. Pagi tadi Cucu Tok Bugis cuba menghubungi seorang rakan yang juga bekas bos CTB dan diberitahu bahawa En. Azmi Abu bakar dan isterinya kini berada ditanah suci mengerjakan haji. Hati CTB sebak dan air mata dgn tiba-tiba mangalir apabila mengenangkan ketika saat CTB bersama dengan bonda dan isteri tersayang berada di Baitullah pada tahun 1996 dahulu. TAHNIAH CTB ucapkan kepada semua bakal haji yang akan menyahut seruan Allah pada tahun ini. Jaga diri dan kesihatan saudara semua sepanjang berada ditanah suci.
Semalam pagi CTB telah didatangi olih 3 anak gadis yang come lote dari UTM diketuai olih Nur Diyana. Pagi ini CBT mencari gambar-gambar yang CTB janjikan untuk membantu assignment mereka. Sekali lagi hati ini sebak, tiba-tiba CTB terbayangkan wajah anak-anak CTB dan air mata CTB kali ini mengalir membasahi pipi. Semoga Nur Diyana dan teman-teman mencapai kecermerlangan academic. Capailah ketinggian menara gading itu tapi jangan lupa jauh dibawah kedua orang tua mu sedang mendungak memerhatikan kejayaanmu.

Isteri Tersayang


Penasihat peribadiku, pengikut setiaku, pengalak dan penghalang. Isteriku Hjh. Zaliha Bte. Ngah Abdul Rahman.
Assalamualaikum dan Salam 1 Malaysia;

Hari ini Cucu Tok Bugis memulakan cacatan ingatan-ingatan masa lampau dengan - Perjalanan Yang Tak Mungkin Berulang.
Lama juga aku mencari kekuatan untuk memulakan kisah ini, akhirnya aku mengambil keputusan untuk menamakan ia Perjalanan Yang Tak Mungkin Berulang. Memandangkan usia ku yang sudah melampaui 50an, sememangnya sebahagian besar apa yang telah aku lalui tak mungkin akan berulang lagi, kecuali Allah subhanahu wa taala menentukan begitu. Semenjak dari awal lagi memang tiada terfikir oleh ku, untuk menjadikan perjalanan hidup orang biasa seperti aku, suatu catatan untuk dibaca umum sama ada dalam bentuk memoir atau pun dalam plot-plot novel. Namun aku telah memberanikan diri ku untuk memulakan perjalanan ini walaupun banyak kisah-kisah yang aku paparkan tidak lengkap dengan tarikh kejadiannya. Walaupun kisah ini banyak mengandungi kisah-kisah benar yang aku lalui, namun ianya tidak dapat dilakarkan sepenuhnya seperti mana kejadian, ianya ditulis berdasarkan pada apa yang aku ingat. Sebahagian dari nama-nama yang terlibat juga telah aku ubah, sama ada kerana terlupa atau demi menjaga kesejahteraan mereka. Perjalanan ini memanglah suatu yang amat kompleks, ada kalanya kita berjaya mengharungi perjalanan tersebut dan selamat sampai ke penghujungnya seperti yang kita idamkan, dan kadang kala kita gagal dalam perjalanan yang banyak rintangannya, penuh dengan duri dan onak, terpukul badai dan taufan. Perjalanan yang dihiasi dengan senyum dan hilai tawa, dan kadang kala bersimpai seli dengan sedu-sedan serta linangan air mata.
Tahun 1951 di Telok Sengat Estate, ibu aku yang di sayangi telah melahirkan seorang anak lelaki ( akulah tu). Ketika itu ayah aku ( kami adik beradik – sebelas orang semuanya - memanggilnya “Encik”) bertugas sebagai seorang anggota Special Constabulary(SC) di sana. Datuk dan nenek aku (sebelah ayah) berada di Kg. Langkah Baik, Pengerang, sedangkan Datuk dan nenek sebelah ibu aku telah meninggal dunia semasa pendudukan Tentera Jepun. Mereka(tiga beranak) mati dibunuh oleh anggota Bintang Tiga kerana enggan menyerahkan simpanan makanan di kedai mereka kepada Bintang Tiga.
Sehingga akhir 70an, untuk keluar dari Telok Sengat cuma ada tiga cara, menaiki bot ke Kota Tinggi, menaiki bot ke Changi, Singapura atau ke Johor Bahru melalui Kong Kong Laut juga dengan bot. Dari Telok Sengat ke Pengerang perlu menaiki sampan, tiada perkhidmatan bot. Untungnya aku sama ada ke KT, CS atau KKL tak perlu keluar duit tambang, perkhidmatan bot diusahakan oleh datuk saudara aku, Tok Ngah Bakar (Allahyarham) – orangnya sangat baik dan tak pernah kedekut, boleh dikatakan semua sanak saudara menaiki botnya tak perlu bayar, itulah antara sebabnya Tok Ngah Bakar hidupnya senang tapi tak sampai ke tahap kaya raya.
Sekitar usia aku dalam lingkungan 2-3 tahun, “Encik” ditimpa kemalangan, pasukan nya yang ditugaskan membuat serangan hendap terhadap pasukan komunis di Ladang Namyo, pasukan “Encik” sebaliknya pula diserang hendap. Rupa-rupanya mereka masuk ke perangkap komunis. Hasil dari pertempuran itu, “Encik” cedera di lengan dan dada. Akibat peluru yang melekat di dadanya, “Encik” terpaksa dihantar ke RAF Hospital di Changi, Singapura untuk menjalani pembedahan mengeluarkan peluru yang hampir terkena jantungnya. Dari sana “Encik” telah menamatkan perkhidmatan sebagai SC atas sebab-sebab kesihatan. Aku ingat semasa aku masih di bangku sekolah menengah, apabila “Encik” menerima kunjungan kawan-kawan lamanya, mereka pasti akan bercerita mengenai pengalaman mereka semasa di dalam SC. “Encik” dan sahabat-sahabatnya jelas melahirkan rasa bangga dan megah mereka semasa menjadi SC, walaupun mereka tidak pernah menerima sebarang anugerah atau sagu hati dari kerajaan di atas titik peluh mereka menentang pengganas komunis di dalam daerah Kota Tinggi.