Dengar Dzkir

Tuesday, November 3, 2009

Pelangi Malam





Apa yang kita ketahui pelangi akan muncul selalunya selepas berlaku hujan. Ramai diantara kita tidak menyedari bahawa lebih kurang jam 11.30 malam 2 Nov 2009 telah berlaku suatu fenomena yang dimanakan "Halo-Pelangi Bulan". Maka kita (termasuk CTB) terlepas peluang untuk melihat keindahan alam ciptaan Allah Yang Maha Esa. Perkara ini hanya disedari CTB apabila menerima email dari MedanKu.com (http://www.medanku.com/rainbow-halo-around-moon/) mengenai perkara tersebut keesokan harinya. Lihatlah gambar-gambar (Ke-3 dan 4) yang menunjukkan pelangi mengelilingi bulan yang diambil diruang udara Medan, Sumatera. Sementara gambar pertama dan kedua adalah gambar fenomena yang serupa tetapi ia melibatkan pelangi mengelilingi matahari.
Adalah menjadi kepercayaan bahawa apabila fenomena ini berlaku, ianya suatu petanda kedatangan cuaca buruk saperti ribut dan taufan. CTB bukan ahli astrologi, mungkin ada rakan-rakan yang lebih arif tentang fenomena ini boleh membantu memberi penerangan yang lebih jitu.


Perjalanan Yang Tak Mungkin Berulang - Kiriman.4

Rumah aku di Sedili bukan sahaja banyak lipan dan jengking, malah terdapat ular sendok, berok dan babi hutan. Tanaman di keliling rumah banyak dimusnahkan oleh berok dan babi hutan, maka aku pun give up untuk bercucuk tanam. Peristiwa yang paling menakutkan ialah apabila rumah aku diserang oleh gerombolan berok, ketika itu hanya isteri aku sahaja yang berada di rumah, anak aku Hidayatul Ashikin Himzal sedang bersekolah, ibu aku balik ke Singapura dan aku pula sedang bekerja di Kompleks Bebas Cukai, Stulang Laut. Akibat dari terlampau takut dengan peristiwa tersebut, isteri aku Hajah Zaliha langsung demam dan muntah-muntah kerana stress yang amat sangat ekoran dari peristiwa berok masuk sampai ke dalam dapur. Apabila isteri aku cuba menghalau, berok-berok tersebut mengejar isteri aku pula. Tiada siapa datang menolongnya, jeritannya tidak didengari oleh sesiapa kerana rumah aku agak jauh jaraknya dari jiran terdekat.

Namun tinggal di Sedili bukanlah bahaya semata-mata, aku juga mendapat ketenangan di sana, jiwa aku memang selalunya tenang apabila berada berhampiran dengan laut, walaupun aku melalui beberapa peristiwa yang menakutkan dengan laut. Malah aku juga akan merasa ketenangan apabila aku melihat burung-burung. Hanya sekadar melihat burung tiung sahaja sudah boleh membuat aku bergembira. Di sana terdapat lebih dari burung tiung. Kumpulan burung serindit kerap singgah dipohon belimbing di belakang rumah ku. Burung but-but juga kerap terbang rendah berhampiran rumah aku. Dan kemuncak kegembiraan aku ialah di saat-saat aku melihat burung kelengking ( seakan-akan burung kenyalang ) melayang-layang di sekitar hutan berhampiran rumah aku. Ketenangan juga menyelubungi jiwa aku apabila aku dikelilingi oleh ayam, itik dan angsa aku terutama apabila aku bersama “Ang” angsa betina berwarna putih pemberian Hj. Salleh, adik angkat aku yang menetap di Kg. Makam. Reban ayam ku yang dipenuhi oleh hampir seratus ekar ayam dan itik kerap kali diserang oleh monyet yang datang mencuri makanan dan juga telor ayam dan itik.

“Ang” adalah kesayangan ku. Ke jinakkannya juga menambat hati isteri dan anak ku. Jikalau aku berada di rumah, “Ang” akan selalu berada dengan aku, di waktu aku hendak pergi kerja “Ang” akan mengejar kereta ku sehingga ke tepi jalan besar dan apabila aku balik dari kerja, sesampai sahaja aku di hadapan rumah, aku akan membunyikan hon kereta dan “Ang” akan meluru ke kereta ku sambil menjerit-jerit.

Hari Jumaat tarikh yang tak ku ingat, “Ang” seperti biasa, menghantar aku sehingga ke tepi jalan besar.

Hari Sabtu, aku tidak bekerja, semasa aku beristirahat di hadapan rumah “Ang” melompat ke atas riba ku. Dia duduk di sana seolah-olah tidur di atas riba ku. Aku dan isteri ku menganggap itu sebagai satu gimik sahaja.

Pagi hari Ahad, aku lihat dari tingkap bilik, “Ang” masih duduk di atas sarangnya. Aku menjangkakan itu adalah biasa kerana dia sedang bertelur. Tengah hari ..... isteri ku memberitahu bahawa “Ang” telah mati. Semasa aku menanam “Ang” tanpa disedari air mata ku tergenang. Seperti semasa kematian Malgosa, kucing kacukan siam yang aku jumpa dalam keadaan basah kuyup dan kotor di dalam longkang di Desa Minang,Gombak.

Malangnya aku terpaksa meninggalkan tempat kelahiran Usman Awang dan kampung halaman Rosiah Chik ini demi keselamatan keluarga ku.

Sunday, November 1, 2009






Hari Sabtu 31OCT2009 CBT ke Singapura untuk meraikan HUT kelahiran ke 12 Mohd. Zulfadli di Aloha Loyang. Setelah singgah di Tempines untuk mangambil bonda, CBT terus ke Pasir Ris mencari lokasi acara diadakan. Tempat ini dahulunya dikenali sebagai Loyang, dan sewaktu CBT masih diawal remaja selalu juga kesitu kerana terdapat saudara mara yang rapat tinggal disana. Sekarang tempat ini telah menjadi kawasan resort. Aloha Loyang ni bercirikan Hawaii. Apa yang menarik yang hendak CBT bawa kali ini ialah aktiviti menjala ikan yang dilakukan oleh En. Ibrahim dan cucu perempuannya bernama Erin. Inilah kali pertama CBT melihat ikan yang dinamakan Ikan Cincang Rebung. Bentuknya saperti ikan tamban tetapi isinya kelihatan saperti ikan bilis. Hati CBT tersentuh kerana dizaman cucu-cucu lebih banyak menghabiskan masa dgn hiburan ciber, ada juga cucu yang mahu mengikut datuknya ketepi pantai untuk menjala ikan. CBT teringat zaman CBT mengikut Allahyarham datuk CBT kehutan mencari kayu api.