Dengar Dzkir

Friday, April 2, 2010

XPDC Ke Gunung Pulai 2





Perjalanan Yang Tak Mungkin Berulang Kiriman 6

Antara peristiwa yang tak dapat aku lupakan semasa berada di Singapura ialah kejadian di Katong Park. Aku yakin, Mohideen, Syed Nasir dan Hj. Mustaffa juga masih ingat. Kami ketika itu dalam Primary 6, hari Jumaat, kami mendapat kebenaran untuk balik awal untuk bersolat Jumaat. Tetapi kami tidak pergi ke Masjid, sebaliknya kami menuju ke Katong Park untuk mandi laut. Setiba sahaja kami di sana, aku tidak berlengah lagi membuang semua pakaian dan terus terjun ke dalam laut. Rupa-rupanya ketika itu air tengah pasang penuh, suatu keadaan yang belum pernah aku alami, dengan ombak yang agak besar membuatkan aku tidak jejak ke dasar laut dan terus terkapai-kapai. Beberapa saat kemudian, apabila aku sedarkan diri aku berada di dalam bilik Life Guard. Setelah keterangan diri ku diambil, aku telah disuruh pulang ke rumah dengan amaran agar tidak lagi menjenguk muka di sana. Menonong kami balik ke rumah masing-masing tanpa mengucapkan terima kasih kepada orang yang telah menyelamatkan nyawa ku. “Ya Allah kau kurniakanlah kesejahteraan mu kepada hamba mu itu sekiranya dia masih hidup, sekiranya dia telah kau jemput ke alam baqa’ himpunkan dia bersama-sama dengan orang-orang yang kau redai.”
Semasa berada di Singapura, aku dan keluarga ku pernah menyewa rumah di Kampong Amber (Katong), Lorong Engku Aman (Geylang), Jalan Tebu, Jalan Nyiur (Kg. Ubi) dan Jalan Belinjau di Kaki Bukit. Tempat-tempat ini hanya boleh diingati tetapi tidak boleh dijejaki kerana telah diubah dek pembangunan. Sebelas tahun aku berada di Singapura, berbagai pengelaman telah aku tempuhi bagi bekalan hidup ku di masa akan datang.
Ketika itu kebanyakan rumah sewa tiada bekalan elektrik mahupun air paip. Antara rutin ku semasa menyewa di Kampong Amber ialah menemani ibu ku ke paip kerajaan, kata orang Singapura “paip Gomen” setiap malam. Ramai kaum wanita membasuh pakaian di waktu malam, ada yang berkemban, ada yang berbaju T, yang kami panggil baju panas, dan ramai juga yang berbaju kebaya kain kasa. Ketika itu aku belum lagi tertarik dengan wanita berkemban kain batik basah, atau baju panas basah mahupun kebaya kain kasa basah. Sementara menantikan ibu ku menyudahkan basuhan, aku berjinak-jinak dengan menjaga kereta dan sekali sekala berpeluang mencuci kereta, dapat juga duit belanja. Ketika itu tidak ada taiko dan tidak ada bos yang mengawal tempat tersebut, Chinese Swimming Club.
Pada malam-malam minggu atau cuti sekolah kami akan menunggu kepulangan pukat balik ke pantai. Kami akan membantu menarik pukat naik ke pantai. Upahnya......kami boleh menguis anak-anak ikan dan ketam untuk dibawa pulang. Semacam satu pakatan telah ujud di sana, kami meringankan kerja-kerja menarik pukat mereka, mereka pula tutup mata sebelah apabila kami “menguis” tangkapan mereka. Tetapi kiranya ada di antara kami yang tamak untuk menguis tangkapan yang besar, kami akan dimarahi dan dihalau dengan serta merta.
Keluarga ku juga pernah menyewa di Lorong Engku Aman. Berhampiran dengan rumah sewa ku ialah rumah Jorah Ahmad dan pelakon drama Pak Kemat. Di belakang rumah ku ialah Sungai Paya Lebar. Di sinilah aku memancing belut dan menyondong ikan. Lorong Engku Aman kini hanya tinggal nama sahaja.........sesiapa yang ingat....Lorong Ungku Aman akan kekal dalam kenangan mereka. Di sini juga terdapat sebuah gelanggang badminton yang kadangkala akan digunakan oleh kaum lelaki masyarakat keturunan Arab untuk mempersembahkan tarian zapin. Kami akan menonton sehingga jauh tengah malam. Kini, Sungai Paya Lebar sudah tidak seperti dahulu, tidak ada lubang belut untuk dihulur mata pancing, lubuk juga sudah tiada untuk di sondong dengan pungkis. Sungai Paya Lebar sudah tidak bertebing tanah liat, ianya sudah diganti dengan tebing konkrit beralur kan parit di tengahnya. Sungai Paya Lebar sudah tidak berbelut, tiada ikan sepat atau belaga dan tiada betok ataupun haruan lagi.