Dengar Dzkir

Sunday, October 25, 2009

Perjalanan Yang Tak Mungkin Berulang - Kiriman.2

Aku mula melangkah ke alam persekolahan di Sekolah Kebangsaan Pengerang, keadaan nya sekarang amat menyedihkan, bangunan sekolah tersebut sudah tidak ujud, bangunan papan yang tidak diurus dan dipedulikan itu sudah dirobohkan. Sekolah Kebangsaan Pengerang telah lama berpindah ke bangunan baru, dan bangunan lama itu beberapa tahun digunakan sebagai sekolah agama. Di sinilah aku mula mengenali ABC dengan menggunakan papan hitam dengan batu kalam, di sini aku mula menghitung secara formal menggunakan biji-biji congkak dan di sini juga aku mula belajar tentang personal hygiene; sesiapa yang tidak menggosok gigi sebelum ke sekolah akan didenda. Berbaris ke tepi pantai (lebih kurang 100 meter dari sekolah) dan mulalah gosok gigi mereka dengan pasir pantai. Aku kira kalau guru tersebut melakukan perkara ini di tahun 2000an, guru dan guru besar pasti akan berdepan dengan laporan akhbar, campur tangan ahli politik, surat dari peguam atau akan dibelasah oleh bapa dan adik beradik murid tersebut. Satu perkara lagi yang masih segar dalam ingatan ku hingga ke hari ini, ialah sewaktu hendak balik dari sekolah. Sebelum loceng dibunyikan, kami dimestikan menjawab soalan dari guru ( malangnya aku tidak ingat nama guru-guru tersebut, semoga Allah memberkati mereka, sekiranya mereka telah dijemput kembali kepada NYA, “ Ya Allah, rahmatilah mereka kerana mereka adalah orang-orang yang telah memberikan ilmu yang bermanfaat kepada hamba mu ini ) – hari ini orang panggil kuiz la tu. Sekiranya soalan terjawab, kami akan keluar dari kelas cepat, siapa yang gagal menjawab kena berdiri, untuk kali kedua berdiri atas kerusi, gagal kali ketiga naik atas meja dan gagal yang keempat kena berdiri di luar pintu kelas. Walaupun aku selalunya dapat menjawab dan akan keluar awal, namun tak boleh balik juga, kerana bapa saudara ku masih tersangkut, kadang kala sampai berdiri di atas meja.

Ketika itu aku duduk bersama datuk dan nenek (yang juga aku panggil “tok”) Datuk telah meninggal dunia dalam akhir-akhir tahun 80an, sewaktu aku sedang bertugas di Terengganu. Nenek “tok” baru saja meninggal dunia, pada tengah malam 8hb. Januari, 2004 di rumah bapa saudara ku di FELDA Air Tawar 2, Kota Tinggi. Allahyarham datuk ku bernama Awang Bin Abdul Karim Bin Perewah Bin wallahu aklam. Adalah titik-titik darah Bugis ……tak lebih dari itu. Tinggal bersama “tok” meninggalkan kesan manis pada diri ku. Aku tergulung dalam kategori cucu yang dimanjakan oleh datuk dan juga moyang ku. Beruntung kan ?….aku masih mampu bermanja dengan moyang ku. Aku tahu ramai yang cemburu….itulah hakikatnya. Namun cucu ku Mohammad Rifqi Rusydi lebih beruntung lagi, oleh kerana aku masih mempunyai “tok” maka dia sempat merasa mempunyai “Onyit” dan nenek ku sempat pula mendukung “oneng-oneng”nya. Aku harap istilah yang digunakan ini adalah betul.

Aku ke sekolah bersama bapa saudara ku Jumaat (Allahyarham), yang aku panggil “Chik Dollah”, menaiki basikal tua, kira-kira macam basikal Allahyarham Sudirman. Perjalanan dari Kg. Langkah Baik ke sekolah lebih kurang lima batu jauhnya, atau mungkin tak sampai. “Chik Dollah” akan mengayuh dan aku membonceng atas carrier di belakang. Banyak kali aku terpaksa ponteng sekolah…..di kala hari panas jalan tanah merah yang kami lalui akan berdebu, tugas aku di belakang ialah memerhati kalau-kalau ada kenderaan datang dari belakang. Sekiranya ada, kami akan “off the road” masuk ke kebun getah untuk lari dari debu-debu yang akan memerahkan rambut. Di musim hujan pula untuk mengelakkan dari percikan air lopak yang akan memerahkan pakaian kami. Kadangkala, apabila kami “off the road” “Chik Dollah” enggan meneruskan perjalanan ke sekolah. Di situlah kami lepak menghabiskan bekalan yang disediakan oleh “tok” atau mak saudara ku. Apabila orang lain balik dari sekolah, kami pun akan balik sama. Satu lagi sebab aku terpaksa ponteng sekolah ialah kalau air pasang pagi. Air dari Sungai Pengerang akan melimpah ke atas jalan, terutama ketika air pasang keling, menyebabkan perjalanan kami ke sekolah terhalang.

Ini menyebabkan aku diambil oleh bapa saudara ku Pak Long Kadim dan tinggal bersama dengan keluarganya di rumah guru berhampiran dengan sekolah. Pak Long Kadim terkenal sebagai seorang yang garang dan tidak berselindung dengan pendapatnya, ertinya kalau dia marah dia tak peduli siapa, habis kena sembur. Perkara yang paling tak disenangi oleh Pak Long ialah sebutan nama Kg. Langkah Baik yang tak betul, ramai orang hanya menyebut “Langkah Bai”. Boleh dikatakan kami semua memang menikus apabila berdepan dengannya. Pak Long Kadim mengajar di Sekolah Kebangsaan Pengerang sementara isterinya, Mak Long Sitam, yang mempunyai pertalian darah dengan ibu ku, lemah lembut orangnya mengajar di Sekolah Agama. Anak mereka yang rapat dengan aku adalah Hamdan, mungkin kerana dia saja anak lelaki dalam keluarga tersebut. Walaupun rumah kami berhampiran dengan pantai, oleh kerana kami telah diberi amaran supaya tidak bermain di pantai, kami tak menjejakkan kaki di pantai meskipun Mak Long dan Pak Long tidak ada di rumah. Waktu-waktu lapang kami akan kami habiskan sebahagiannya di dalam stor bawah kolong sekolah. Apa ada di sana? ………biskut keras dan susu tepung yang sudah membeku. Itu pun sedap kami makan. Murid-murid sekolah mendapat bekalan minuman susu panas dan biskut, aku kurang pasti siapa penyumbangnya…..mungkin juga Kerajaan Amerika. Ketika itu sumbangan kebajikan memang banyak datang dari mereka.

Berbeza kalau aku bersama dengan “tok” dan “Chik Dollah”….. bertemankan Saadon, Naim, Rejab dan dua tiga orang lagi yang aku kurang ingat nama-nama mereka, kami akan mandi laut atau menangkap ikan diparit. Kadang kala kami akan menyelinap dicelah-celah semak mencari telor ayam atau itik yang bertelur merata-rata di luar reban. Atau pun kami memetik buah gajus dan menggoreng bijinya, inilah waktunya baju-baju basahan kami banyak yang rosak atau terbakar, kalau tidak pun baju akan rosak terkena getah jambu gajus. Waktu air surut kami beramai-ramai, kadangkala disertai oleh ibu saudara ku Mak Anjang Piah, Uda Zaitun (Allahyarhamah) dan Busu Radiah, akan pergi berkarang di tanjung mencari kepah dan kerang bulu. Sekarang ni dah tak nampak orang berkarang, mungkin dah tak minat atau mungkin juga kerangnya dah tak ada. Pernah sewaktu aku berkarang selama dua tiga jam hasilnya hampir satu besin kecil dipenuhi dengan kerang bulu dan kepah. Dan pernah juga aku berjaya mendapat kerang bulu yang hampir sama besar dengan cawan teh. Kerang dibakar atas bara kayu, emmmmm…enaknya.

Kadang kala kami akan mencuri-curi masuk ke dalam kawasan rumah api dan memanjat naik ke puncak menara rumah api, dari sana kami dapat melihat pulau Singapura dan Batam dengan jelas. Semasa kami berada di puncak menara tersebut, akan terasa menara tersebut terayun ke kiri dan ke kanan kerana ditiup angin. Apa yang kami anggap keberanian pada ketika itu, sebenarnya adalah suatu kebodohan yang tidak memikirkan keselamatan diri.

No comments:

Post a Comment