Dengar Dzkir

Wednesday, October 28, 2009

Perjalanan Yang Tak Mungkin Berulang - Kiriman.3

Di rumah Pak Long, kami mengaji Quran dengan Mak Long , tetapi di Kg. Langkah Baik, kami mengaji dengan Tok Anjang Hamid (Allahyarham). Mengaji di sini tidak perlu berbayar, kami hanya menyumbang dengan kudrat kami sendiri. Yang lelaki memotong kayu api, mengangkat air dari perigi, dan membersihkan halaman. Manakala yang perempuan membasuh pinggan mangkuk, membersihkan rumah atau memasak air dan membuat kopi untuk kami sama-sama minum selepas mengaji nanti. Aku sendiri memang selalu memilih untuk mengangkat air dari perigi. Pantang air dalam tempayan tu susut, cepat-cepat aku tambah, tak ada can langsung orang lain boleh buat. Kenapa rajin sangat ……….rahsianya di kawasan perigi aku menyimpan telor-telor yang dijumpai di dalam semak, sebelum dijual di kedai di pekan Kg. Jawa.

Sewaktu tidak bersekolah, aku kerap dibawa oleh datuk ku ke hutan menemaninya mencari kayu api. Kayu api dia yang cari, kerja aku selalunya menghabiskan bekalan. Pertama sekali aku akan menghabiskan bekalan air kopi dalam botol air F&N yang disumbat dengan potongan pelepah rumbia. Kemudian botol tersebut akan diisi dengan anak-anak ikan yang sempat aku tangkap dari lopak berhampiran. Jikalau kayunya banyak, datuk akan menyorong basikal dan aku akan menolak dari belakang.

Aku kemudian dipindahkan ke Singapura dalam tahun 1956 oleh “Encik” untuk meneruskan persekolahan di Haig Boys’ School dan seterusnya ke Dunman Intergrated Secondary School, kedua-duanya dalam daerah Tanjung. Katong. Visi “Encik” mahukan anaknya belajar sekolah orang putih, ini pada awalnya ditentang oleh keluarganya di kampung yang pada ketika itu takut aku menjadi Kristian. Salah satu cara untuk menggagalkan usaha memindahkan aku ke sekolah orang putih ialah “menghilangkan” surat beranak aku. Tapi “Encik” panjang akal, dia mengambil SD(Surat Sumpah) untuk menggantikan sijil lahir ku yang “hilang”.

Kehidupan aku di Singapura tidak kurang melakarkan peristiwa yang menarik. Dari sini, walaupun aku tidak berjaya memasuki UM, namun aku berjaya mengikuti kuliah NUS dan UK serentak. Dan aku yakin kedua-duanya membuat apa dan siapa aku hari ini. Cumanya NUS bukanlah Nanyang University of Singapore dan UK pula bukannya Universiti Kebangsaan. Kedua-duanya ialah Natures’ University of Survival dan Universiti Kemanusiaan. Aku tidak menggonggong ijazah namun aku mempelajari ilmu hidup, untuk hidup supaya hidup.

Hari-hari ku banyak berkisar di kalangan dua kelompok sahabat-sahabat ku. Kawan-kawan yang sebaya dengan aku – Mohideen, Syed Nasir, Mustaffa, Alias, Saadon, Ahmad Said, Syed Mohsen dan Daud (Boyan). Satu lagi ialah kelompok senior, Fadzlan, Yunos, Raja Malik, Azman, Quazar, Jufri, Mokram dan Daud (Boyo). Sebenarnya aku lebih rapat dengan senior, ini kerana penglibatan aku di dalam persatuan di sekolah di mana aku mewakili pasukan sekolah dalam pertandingan berbalas pantun, berbahas dan syarahan. Ini seterusnya membawa aku bergiat di dalam 4PM untuk seketika sebelum aku berhijrah ke Kuala Lumpur setelah menerima keputusan OSC ku.

Mohideen, Syed Nasir, Alias dan Mustaffa adalah kawan-kawan ku dari sekolah rendah, Haigs’ Boys Primary School. Perhubungan aku dengan Mohideen, Mustaffa dan Syed Nasir telah terputus apabila aku berpindah ke sekolah menengah dalam tahun 1963. Namun hubungan dengan Mustaffa terjalin semula apabila aku bersara secara sukarela pada usia 45 dari PDRM dan cuba mengubah cara hidup ku di Sedili, kebetulan Mustaffa juga cuba hidup di Sedili walaupun beliau masih bekerja di Singapura dengan Ministry of Environment, kalau tak silap sebagai merinyu kesihatan. Malangnya perhubungan ini terputus kembali, apabila aku mengambil keputusan untuk meninggalkan Sedili dalam tahun 1997 dan menetap di Pasir Gudang kerana mengutamakan keselamatan ibu, isteri dan anak aku. Mustaffa pula meninggalkan Sedili sekembalinya beliau dan isteri dari tanah suci Mekah, mengikut cerita dia juga menetap di Johor Bahru. Mohideen dan Syed Nasir hilang tanpa berita tidak dapat dijejaki, sehingga hari ini kami tidak pernah bersua muka, sementara Alias kini berada di Bedok North, kalau tak silap telah pun mempunyai empat atau lima orang cahaya mata yang telah besar.

Alias pernah merancang untuk bermalam di rumah aku bersama keluarganya. Sambil makan malam kami berbual-bual, terkeluarlah cerita bahawa di rumah aku banyak terdapat lipan dan jengking. Malah juga terdapat ular sendok. Isteri aku menceritakan bagaimana satu hari di waktu siang aku membunuh seekor lipan dan anak-anaknya yang masih berwarna putih, pada senjanya sewaktu aku memakai baju Melayu hendak bersolat maghrib, aku menganggap ini secara kebetulan sahaja, entah bagaimana seekor lipan berwarna merah kehitaman yang besarnya hampir satu jengkal terjatuh dari saku baju Melayu aku. Ibu aku mengatakan bahawa itu bapak lipan yang aku bunuh anak-anaknya, entahlah wallah hu waklam. Tak sampai satu jam selepas itu, Alias memberitahu bahawa sebentar lagi van akan datang untuk mengambilnya kerana esok kawannya tidak ada kelapangan untuk berbuat demikian. Aku memandang muka isteri aku, apabila aku menoleh ke muka ibu aku, jelas terbayang senyuman orang tua di mukanya.

No comments:

Post a Comment